Dengan meletakkan sasaran keseluruhan untuk berada dalam kelompok 15 terbaik dan dapat menaiki podium atau menjuarai satu peringkat perlumbaan, skuad rojak ini akan diketuai pelumba berpengalaman, Nik Mohd. Azwan Zulkiflie.

Pengurus pasukan, Amrun Misnoh berkata, pengalaman Nik Azwan, 29, yang pernah menaiki podium tahun lalu mampu membimbing pelumba muda di bawahnya yang memiliki keupayaan mendaki yang baik.

“Tahun lalu, Nik menang dan naik podium pada perlumbaan peringkat dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

“Saya percaya kemenangan tersebut bukannya satu kebetulan atau sekadar nasib.

“Ini kerana Nik adalah seorang pelumba yang sangat berpengalaman,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan pasukan lebuh raya Malaysia bagi menghadapi LTdL edisi ke-24 kali ini.

Nik Azwan sebelum itu juga pernah menjuarai Jelajah Thailand 2016 dan Sukan SEA 2017.

“Saya akan cuba sebaik mungkin membimbing pelumba muda yang rata-ratanya berusia bawah 23 tahun ini kerana mereka mempunyai kayuhan mendaki yang baik.

“Kami akan perancangan terbaik untuk bersaing dengan pelumba profesional luar negara,” tegas Nik Azwan yang akan dibantu seorang lagi pelumba berpengalaman, Sofian Nabil Omar, 26, yang pernah beraksi di pentas antarabangsa.- UTUSAN ONLINE

Barisan pelumba negara
Nik Mohd. Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar, Zamirul Adlisham Zulkefli, Nurfitri Amar Rosli, Shahmir Aiman Abdul Halim, Azli Najmi Zulkefli