Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill percaya dengan kebolehan serta keupayaan atlet berbasikal wanita negara untuk mempamerkan aksi terbaik mereka pada penganjuran julung kali jelajah berbasikal wanita di Malaysia itu.

"Misi utama PKBM ialah pastikan wakil negara berada di podium. Saya rasa ia satu misi yang penting untuk pastikan Malaysia buktikan keupayaan mereka di mata pelumba lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman penaja utama jelajah berbasikal wanita itu.

Bagaimanapun, Amarjit mengesahkan PKBM masih belum menyenaraikan pelumba yang bakal mewakili negara pada jelajah berkenaan.

Katanya, PKBM menyerahkan tanggungjawab menamakan pelumba itu kepada pihak pengurusan dan juga jurulatih berbasikal negara untuk mencari wakil yang mampu menjulang nama negara.

"Pasukan wanita negara memang ada dan untuk menamakan atlet bagi jelajah ini tiada masalah. Dari segi persiapan tiada masalah, semua atlet memang terlibat dalam sesi latihan, cuma kami kena pilih yang terbaik sahaja," katanya.

Amarjit berkata dengan adanya penganjuran jelajah bertaraf dunia itu ia sedikit sebanyak membantu atlet kebangsaan mengetahui tahap pencapaian mereka.

Arya Le Tour de Femina melibatkan perlumbaan enam peringkat berstatus UCI 2.1 (wanita elit) membabitkan penyertaan kelab-kelab profesional wanita termasuk dari Eropah, Amerika, Oceania dan Asia.- BERNAMA