Itu jaminan Ketua Komisar yang dilantik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk LTdL 2019, Sven Calus yang menegaskan, syarat badan berbasikal dunia untuk 2.0HC adalah lebih kepada penyertaan pasukan dan pelumba dari semua benua, kualiti perlumbaan serta organisasi.

“Klasifikasi Hors Class tidak hanya tertumpu kepada pasukan­ Pro Tour, ia adalah penilai­an terhadap organisasi.

“Status pelumba tidaklah begitu penting, apa yang UCI tanya dalam laporan ialah jumlah pasukan asing dan pelumba daripada pelbagai negara.

“Kita ada pasukan dari Asia, Ocenia, Eropah, Amerika dan Afrika yang mana amat penting bagi UCI.

“Selain itu, keselamatan juga penting, UCI menyatakan jalan raya perlu ditutup sepenuhnya, terutama selepas kejadian yang berlaku di Eropah beberapa tahun lalu.

“Tentu sekali ada juga pe­nilaian terhadap laluan. Saya teruja untuk melihat pendakian Gen­ting Highlands,” katanya dalam majlis pengumuman Genting Malaysia sebagai penaja utama LTdL 2019 di sini hari ini.

Semalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab mengkritik penganjur tahun ini, Human Voyage (M) Sdn. Bhd. yang gagal menarik penyertaan pasukan Pro Tour seperti dijanjikan ketika membida.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa menjelaskan, pasukan Pro Tour tidak dapat menyertai LTdL 2019 ke­rana ia bertembung dengan beberapa perlumbaan di Eropah.

“Kami memang mahukan mereka (Pro Tour) tetapi kita diarahkan untuk adakan perlumbaan dari 6-13 April dan bukannya bermula 27 April seperti cadangan awal kami.

“Jadi tarikh ini bertembung dengan banyak acara, terutama dua acara penting, Tour Des Flandres minggu ini dan Paris-Roubaix minggu hadapan,” ujarnya.