KUALA LUMPUR 2 Jan. - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi jaminan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 tetap akan diadakan, biarpun mengalami kelewatan dari segi pelantikan kontraktor penganjur.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum menentukan kontraktor mana yang mendapat kontrak penganjuran tersebut.
“Kita kena ikut kontrak tender terbuka. Prosesnya agak terbuka. Nanti apabila sudah dimuktamadkan, kita akan umum,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kelewatan penganjuran LTdl 2019 di sini, hari ini.
Syed Saddiq, bagaimanapun, menafikan penawaran tender itu sudah ditutup sejak tahun lalu lagi.
“Ia masih dibuka,” tegasnya yang sekaligus mengesahkah status penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal terbesar di Asia itu tetap akan dianjurkan dengan jadual pertandingan di jangka berlangsung Mac ini.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq hari ini melakukan tinjauan di Stadium Hoki Nasional, berikutan laporan media yang mendedahkan tentang kerosakan permukaan padang stadium berkenaan.
Menurut beliau, kontraktor utama iaitu MRCB telah bersetuju menanggung kesemua kos pembaikan padang, manakala kementeriannya tidak perlu mengeluarkan peruntukan langsung.
“Kerja-kerja pembaikan akan bermula pada 11 Februari dan dijangka siap pada 31 Mac ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak pula menjelaskan tentang jumlah kos untuk menukar keseluruhan karpet dua padang hoki terbabit.