Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2019, Datuk Ahmad Mustafa berkata, sebagai syarikat pengurusan acara perlumbaan itu yang dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengendalikannya, boleh dikatakan pihaknya sudah bersedia untuk menerima kehadiran pasukan yang bertanding.

“Daripada segi persediaan kita untuk menganjurkan perlumbaan ini, kita sudah bersedia untuk menguruskan perlumbaan ini sebaik mungkin.

“Untuk makluman, pelumba-pelumba akan mula datang secara berperingkat bermula Rabu ini (3 April 2019) sehingga Jumaat,” katanya pada sidang media pengumuman penutupan jalanraya di sekitar Pulau Pinang bersempena Le Tour de Langkawi 2019.

Pulau Pinang akan menjadi hos bagi perlumbaan peringkat keenam yang akan bermula dari perkarangan Dewan Datuk Ahmad Badawi, Bagan menuju ke Alor Setar, Kedah melibatkan jarak perlumbaan sejauh 130.8 kilometer pada 11 April 2019.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee nyata gembira dengan pemilihan negeri itu sebagai salah satu daripada laluan yang terdapat dalam saingan jelajah berstatus 2.HC edisi ke 24 tahun ini.

“Pihak kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada KBS kerana memilih negeri ini sebagai salah satu lokasi bagi kejohanan yang berprestij sekaligus menjadikan Pulau Pinang tumpuan bagi peminat sukan seluruh dunia,” kata Soon.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) IPK Pulau Pinang, DSP Zafri Zolkapli, seramai 200 anggota daripada unit polis trafik seluruh Pulau Pinang akan membantu memastikan kelancaran peringkat keenam itu tetapi tidak termasuk anggota Jabatan Pertahanan Awam dan RELA.

Jalan yang ditutup bermula jam 12.00 tengah malam pada 11 April adalah melibatkan laluan di perkarangan Dewan Datuk Ahmad Badawi diikuti penutupan secara berperingkat melalui Bagan Ajam, Telok Air Tawar, Titi Mukim, Permatang Pak Elong, Permatang Sintok, Permatang Tok Loba, Kepala Batas, Lahar Ikan Mati, Permatang tinggi A, Bumbung Lima dan Kampung Jambatan Merdeka.

Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM danEurosports di sepanjang lapan hari perlumbaan. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.

Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai di sepanjang laluan dan juga di venue mula dan penamat.- UTUSAN ONLINE