Begitupun, harapan untuk menyenaraikan pendakian di Cameron Highlands tidak dapat diteruskan kerana mahu memberi tumpuan kepada laluan di kawasan pantai barat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa berkata, perlumbaan Genting Highlands berlangsung pada peringkat keempat dan ia akan bermula dari Shah Alam meliputi jarak sejauh 115 kilometer.

Katanya, Genting Highlands yang menyepi daripada peta LTdL sejak 2014 diharap menjadi daya tarikan kehadiran pelumba-pelumba pakar pendaki pasukan profesional khususnya dari Colombia.

“Pihak Genting (Malaysia Group) sudah setuju jadikannya satu laluan dan kami anggap laluan ini ikon LTdL dan sentiasa istimewa buat pelumba dan peminat memang mahu lihat mereka berlumba mendaki di sana.

“Namun perlumbaan tahun ini tidak dapat ditamatkan di puncak Genting kerana ada kerja-kerja pembinaan dan kami masih berbincang, mungkin hanya sampai di sebuah ladang cendawan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pengelola LTdL 2019 di Menara KBS di sini hari ini.

Menurut beliau, butiran lanjut seperti identiti pasukan pro yang menyertai bakal diumumkan pada majlis pelancaran rasmi LTdL oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Khamis ini. - UTUSAN ONLINE