Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dengan penganjuran perlumbaan berstatus Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2.1 itu dapat menarik minat golongan wanita muda untuk menyertai sukan berbasikal.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara ketiga menganjurkan perlumbaan itu di peringkat Asia selepas China dan Thailand berbuat demikian sebelum ini.

"Saya percaya lebih ramai wanita akan berbasikal apabila melihat atlet terbaik dunia bersama kita di Malaysia.

“Secara tidak langsung langsung ia dapat dapat memasarkan Malaysia di pentas antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas pelancaran LTdF 2019, di sini hari ini.

LTdF 2019 dijadual akan berlangsung pada 7 hingga 12 Sept ini, melibatkan enam peringkat perlumbaan meliputi jarak keseluruhan 719.9km.

Perlumbaan bakal bermula dari Jitra, Kedah dan berakhir di Cyberjaya, turut membabitkan beberapa bandar besar seperti Kulim, Permatang Pauh, Kuala Kangsar, Tapah, Bukit Fraser, Shah Alam, Alor Gajah, Jasin, Muar dan Tampin.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla R.R.V Suppiah mengenai kos penganjuran LTdF 2019 yang dijangka menelan belanja hampir RM10 juta.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab berkata, walaupun belum ada skuad berbasikal lebuh raya wanita negara yang mantap namun akan membentuk sebuah pasukan enam pelumba menjelang LTdF 2019.

"Kita cuba bina (bentuk) pasukan kita untuk LTdF. Kita ada empat pelumba yang beraksi di Tashkent, Uzbekistan, baru-baru ini, kita kena cari lagi dua orang. Mungkin kita akan dapatkan senarai daripada Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Dalam pada itu, Abu Samah berkata, PKBM sudah menghantar permohonan dan membayar penalti kepada UCI kerana kelewatan mendaftar penganjuran LTdF 2019.

"Isu ini sudah selesai sebab kita sudah pun membayar penalti," katanya.

Seramai 132 pelumba daripada 22 pasukan dijangka mengambil bahagian dengan penyertaan kelab profesional wanita termasuk dari benua Eropah, Amerika, Oceania dan Asia.- BERNAMA