Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, tujuan utama litar berkenaan dibina adalah sebagai tempat latihan awal bagi pengenalan kepada Sukan Supercross BMX.

Katanya, selain digunakan dalam saingan BMX, ia juga sesuai untuk aktiviti riadah seperti kayuhan santai, latihan serta kejohanan Mountain Bike (MTB).

“Kita sudah ada enam litar Pump Track di negara ini dan di sini (Batu Pahat) adalah yang ketujuh, manakala di negeri Johor ia litar ketiga selepas di Kompleks Belia dan Sukan Larkin serta di Kluang.

“Litar Pump Track Batu Pahat ini yang dibina dalam konsep beralun terdiri daripada ‘roller, table top, step up, berm dan double yang berfungsi sebagai ‘halangan’ agar mendapat momentum terbaik untuk penunggang.

“Keistimewaan litar ini berbanding enam litar lain ialah, ia dibina dengan tiga lapisan iaitu tanah (dirt), habuk batu (quarry dust) dan tar atau bitumen (asphalt),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Pengenalan Pump Track Batu Pahat yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Kamalludin Jamal dan Wakil Rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat, Ahmad Narzi Rebu.

Jelas beliau lagi, inspirasi untuk pembinaan litar pump track ini terhasil daripada kejayaan anak jati Batu Pahat, Zafrin Shah Sabikin yang berjaya menempatkan diri di peringkat akhir Sukan Ekstrem Dunia di Barcelona, beberapa tahun lalu dan mendapat tempat kelapan secara keseluruhan.

Katanya, litar yang dibina di Taman Linear Bandar ini bernilai RM234,860 dan sepanjang 245 meter dengan dibahagikan kepada beberapa seksyen iaitu Main Loops, Medium Loops, Small Loops dan Rhythm Section. - BERNAMA