Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ciclista Sports, Shahirudeen Seeni berkata perubahan laluan itu akan diumumkan selewat-lewatnya pada minggu depan selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

"Laluan akan ada perubahan yang terlalu besar dan saya janjikan laluan ini tidak pernah lagi dibuat di Malaysia. Ia satu kejutan dan memang laluan terbaik, ia bakal menjadi sejarah.

"Namun dari segi cabaran, lebih kurang sama sahaja tapi peringkat pertama dan keenam (terakhir) ada sejarah sikit. Kita tidak akan mula di Jitra dan berakhir di Cyberjaya, semua berubah," katanya kepada media pada sidang media pengumuman penaja utama jelajah berbasikal wanita pertama di Malaysia itu.

Penganjur kejohanan hari ini menerima tajaan berjumlah US$2.2 juta (RM9.3 juta) daripada penaja utama, ARYA Premier Sdn Bhd bagi menjayakan perlumbaan enam peringkat berstatus UCI 2.1 (wanita elit) membabitkan penyertaan kelab-kelab profesional wanita termasuk dari Eropah, Amerika, Oceania dan Asia.

Melalui penajaan berkenaan, ia menyaksikan nama kejohanan berubah daripada hanya Le Tour de Femina kepada Arya Le Tour de Femina serta tarikh asal penganjuran jelajah yang sepatutnya berlangsung bermula Sabtu ini hingga 12 Sept turut ditunda kepada tarikh baharu iaitu pada 16 hingga 21 November.

Perubahan tarikh penganjuran itu adalah selaras dengan permintaan penaja untuk mempromosikan Persidangan Wanita Asia Afrika (AAWC) yang dijadualkan pada Mac tahun hadapan.

Shahirudeen berkata walaupun tarikh perlumbaan ditunda ke tarikh baharu namun beliau berkata 18 pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka.

"Untuk permulaan 18 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dan bila ada perubahan tarikh kita terpaksa tunggu maklum balas daripada pasukan. Tidak ada masalah besar, hanya mahu pastikan pelumba tidak ada kejohanan lain dan penukaran tiket kapal terbang," katanya.

Sementara itu, CEO Arya Premier Sdn Bhd, Zarina Mohd Nor berkata penajaan besar itu merupakan salah satu misi syarikatnya untuk memperkasakan kaum wanita.

"Dengan penajaan ini, ia boleh menjadi platform untuk mempromosikan AAWC sempena Hari Wanita Sedunia. Selain mahu menyumbang kepada sukan berbasikal, kami juga mahu membantu negara dalam menjana pendapatan," katanya.- BERNAMA