Pengerusi TdIJ, Jaafar Hashim berkata, kejohanan baharu lumba basikal yang merupakan julung kali diadakan di Johor itu akan menempuh laluan mencabar melibatkan peringkat pertama dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat dengan jarak 122.9 kilometer (km).

“Begitu juga bagi peringat kedua dari Muar Ke Yong Peng dengan jarak 172.4 km manakala peringkat ketiga dari Klaung ke Johor Bahru dengan jarak 107.7 km hanya sedikit berbukit,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Trove di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, jarak keseluruhan TdIJ yang berdaftar dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu melibatkan jarak keseluruhan 403km dengan jumlah 115 peserta dalam dan luar negara.

“TdIJ melibatkan penyertaan 23 pasukan antaranya 15 continental benua, satu pasukan kebangsaan, dua pasukan negeri dan lima kelab terkemuka Asia,” katanya dan memberitahu penganjuran TdIJ 2019 dikelolakan Majlis Sukan Negeri Johor serta Persatuan Berbasikal Negeri Johor.

Pelepasan TdIJ 2019 akan dilakukan di Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Batu Pahat pukul 12 tengah hari dan perlumbaan berakhir di Kompleks Yayasan Warisan di sini pukul 6 petang Jumaat ini. - UTUSAN ONLINE