Sebanyak 40 pasukan dari luar negara telah menghantar permohonan untuk menyertai perlumbaan jelajah berbasikal terbesar Asia itu setakat ini.

Perkara itu disahkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam bahagian teknikal perlumbaan.

ABU SAMAH WAHAB
ABU SAMAH WAHAB 

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab berkata, walaupun pelantikan kontraktor pengendali perlumbaan masih menjadi teka-teki, selain masa yang semakin suntuk untuk persiapan penganjuran, LTdL jelas mempunyai daya tarikan dan reputasi tersendiri.

“Bagaimanapun kita bakal menolak separuh daripada jumlah tersebut bagi memenuhi kuota 22 pasukan yang hanya dibenarkan bertanding pada edisi kali ini.

“Daripada jumlah itu kita bercadang menjemput dua pasukan Pro Tour manakala selebihnya adalah pasukan pro kontinental termasuk dari Malaysia dan pasukan kebangsaan beberapa negara seperti China, Korea dan Jepun,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis taklimat mengenai Sukan SEA 2019 oleh wakil Jawatankuasa Penganjur Filipina dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, penganjur LTdL 2019 perlu membuat jemputan rasmi kepada pasukan yang terpilih 60 hari sebelum LTdL 2019 bermula.

“Ini peraturan yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang perlu kita patuhi.

“Jadi kita kena cepat-cepat lantik syarikat pengendali LTdL 2019 selewat-lewatnya pada 25 Januari ini,” tegasnya.