Kejayaan terbaru itu bagaimanapun kurang bermakna buat Muaz kerana namanya tercicir daripada skuad MTB Malaysia yang akan menyertai Sukan SEA di Filipina akhir tahun ini.

Berbekalkan catatan masa 1 minit 28.08 saat, Muaz menewaskan beberapa jaguh veteran, termasuk Muhammad Fauzan Ahmad Lufti dan Muhammad Elmi Jumari - dua tonggak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggap jauh lebih handal.

Pelumba Sarawak, Adrian Laurel Lauridsen turut melakukan kejutan apabila menduduki tempat kedua, keciciran 0.44 saat manakala pelumba tuan rumah, Muhammad Aidil Taufid Affendi melengkapkan carta kemenangan kejohanan kebangsaan tahun ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengakui, nama Muaz tercicir daripada senarai ke temasya Filipina 2019.

"Kita telah hantar nama lebih awal, selepas itu barulah kita adakan Kejohanan Lumba Basikal MTB Kebangsaan.

"Bagaimanapun, saya rasa peluang untuk Muaz menyerlah masih ada kerana dia masih muda.

"Saya berharap Muaz tidak patah semangat untuk terus menyerlah dan menyarung jersi kebangsaan pada satu hari nanti," katanya.

Dalam MTB 2019, Muhammad Fauzan yang dianggap antara pelumba pilihan utama untuk muncul juara kebangsaan sekadar menduduki tempat keempat dengan masa 1:32.21s manakala Elmi kelapan dengan masa 1:38.27s.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu, Saniy Syahmi Safiee muncul juara elit kebangsaan acara turun bukit MTB 2019 menewaskan pesaing dari Selangor, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali.

Saniy Syahmi merakam masa 1:29.877s manakala Norshahriel Haizat keciciran 1:006. Pelumba Terengganu, Zulfikri Zulkifli menduduki tempat ketiga dengan masa 1:32.684s.

Acara turun bukit elit wanita pula menyaksikan pelumba Selangor, Siti Natasha Basri muncul juara dengan masa 1:39.007s, diikuti pelumba Pahang, Nia Vanessa Suhana Zaidi (2.521s) manakala Athirah J Sam dari Selangor melengkapkan senarai pemenang dengan catatan 1:52.05s.

Sementara itu, anak pelumba terkenal, Nur Deena Safia Nur Effandy yang mewakili Putrajaya muncul juara elit rentas desa Olimpik wanita dengan masa 1:31.53s diekori pelumba Terengganu, Mustika Ayuni Mustofa dan Ainie Markus dari Sabah masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga.

Nur Effandy Rosli ialah pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 dan kini melatih skuad MTB Putrajaya.