Pemilik nama Nur Assyira Zainal Abidin, 25, hairan me­ngapa dia tidak layak dipanggil menyertai skuad kebangsaan walaupun pernah memegang status sebagai pelumba wanita No. 1 basikal bukit negara.

“Impian saya dapat sekali beraksi di Sukan SEA pun dah cukup. Dengan umur yang semakin meningkat, saya mengharapkan peluang itu akan datang pada Sukan SEA tahun ini.

“Malangnya sampai sekarang saya tidak ditawarkan peluang walaupun pernah muncul juara kebangsaan tahun lalu. Saya tidak tahu kepada siapa boleh saya luah kekecewaan ini,” katanya.

Kata Nur Assyira, banyak kejohanan telah disertainya baik di dalam mahu pun luar negara namun tiada satu pun yang mendapat perhatian persatuan berbasikal kebangsaan.

“Kalau macam inilah caranya, potensi pelumba yang ada tidak dipedulikan, tidak diberi latihan sistematik, tiada program pembangunan atau tiada bajet secukupya yang boleh diberikan, bagaimana sukan basikal bukit mampu berkembang,” tegasnya yang tidak pernah ada jurulatih dan kerap mengeluar­kan belanja sendiri.

Sebagai contoh, dia pernah mengenali seorang pelumba wanita Filipina, Ariana Thea ­Patrice yang bermula dari kosong tetapi berkat sokongan persa­tuan negaranya, dia kini layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Dulu senang sahaja saya nak tinggalkan dia (Ariana), malah dia bukan pesaing hebat pun tapi sekarang dia sudah jauh di atas saya antara tujuh hingga 10 minit lebih pantas.

“Apa yang saya mahu buktikan di sini ialah dalam sukan basikal bukit, kita boleh menjadi lebih baik jika mendapat sokongan berterusan,” jelasnya.

Dengan kata lain ujarnya, sukan basikal bukit di negara ini kurang mendapat perhatian untuk dibangunkan walaupun ia semakin popular sebagai wadah rekreasi dan aktiviti santai hujung minggu.

Anak kelahiran Ipoh yang mesra dipanggil Syira itu ­berazam mempertahankan gelaran kebangsaan, Ogos ini.

“Jika dapat, ini mungkin peluang pertama dan terakhir saya untuk ke Sukan SEA kerana saya juga telah dipanggil temuduga menjadi jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri Perak.

“Saya juga ada buka kedai basikal demi kelangsungan hidup kerana belum ada kerja tetap. Semua ini saya buat kera­na minat kepada basikal bukit.

“Kalau saya tak buat macam ini, macam mana hendak guna duit sendiri untuk menyertai kejohanan,” kata pemegang ijazah elektronik perubatan dari Politeknik Shah Alam itu.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Politeknik Malaysia kerana sepanjang me­nuntut di sana, institusi pengajian itu kerap menyalurkan bantuan kewangan untuk mengembangkan bakatnya.