Josiah berkata keutamaannya ketika ini adalah kepada akademi yang diberi nama ‘Josiah Ng Cycling Academy’, iaitu projek peribadinya bagi memberi pendedahan kepada anak muda yang berminat mempelajari sukan berbasikal secara simulasi dan dalam keadaan selamat.

“Jika saya diberikan peluang menjadi jurulatih kebangsaan, saya tidak akan kata tidak, tetapi saya ada misi untuk dipenuhi sekarang, iaitu memastikan akademi saya ini berjaya. Saya seorang yang amat fokus, saya mempunyai pemikiran seorang ‘sprinter’, jadi saya hanya fokus kepada projek saya.

“Ketika mula-mula saya balik ke Malaysia, saya telah berbincang dengan Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) dan beliau maklumkan saya akan mampu berikan impak yang lebih dalam program akar umbi, di mana saya boleh kenal pasti bakat baru melalui akademi ini,” katanya selepas pelancaran akademi yang terletak di Damansara itu.

Mengulas lanjut mengenai jawatan jurulatih kebangsaan, Josiah berkata beliau tidak mengambil pusing mengenai jawatan ketua jurulatih berbasikal kebangsaan yang kini dipegang John Beasley.

“Pada masa ini, ketua jurulatih kebangsaan adalah John Beasley dan tidak ada kekosongan untuk jawatan itu. Untuk ‘prestasi tinggi’, juga telah ada jurulatih, jadi menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga peringkat akar umbi,” katanya.

Untuk rekod, bekas olimpian itu pernah dilantik sebagai jurulatih berbasikal Thailand yang membawa Jai Angsuthasawit muncul sebagai juara acara keirin dalam Sukan Asia 2018.- BERNAMA