Mohd. Zonis, 52, yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, kira-kira pukul 8.15 malam.

Terdahulu jenazah dimandikan dan disembahyangkan di kediamannya di Jalan Balai Raya Kampung Bukit Kerayong pada kira-kira pukul 8 pagi dan tiba di tanah perkuburan pada 9.20 pagi.

Muhammad Fadhil ketika ditemui pemberita berkata, dia kembali ke tanah air sejak sebulan lalu setelah kesihatan bapanya merosot sejak awal Ramadan lepas.

Katanya, walaupun baru sahaja kehilangan insan yang bertanggungjawab menimbulkan rasa cintanya terhadap sukan berbasikal, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus maju dalam sukan berkenaan.

"Isnin ini (24 Jun) saya berlepas ke Jerman untuk kejohanan berbasikal di sana, saya semakin bersemangat untuk membawa nama ayah ke pentas dunia.

"Sebelum ini saya agak keberatan untuk pergi ke sana kerana kesihatan arwah ayah semakin merosot tetapi dia tetap menyuruh saya pergi untuk masa depan saya katanya, dan menambah, menyertai kejohanan di Jerman merupakan antara pesan terakhir bapanya.

Dia berkata, semangat ayahnya yang menyokong mereka tiga beradik dalam sukan berbasikal sentiasa menjadi kenangan manis yang akan kekal terpahat dalam ingatan.

Selain Muhammad Fadhil, dua lagi abangnya Muhammad Faiz dan Muhammad Firdaus, juga pernah aktif dalam sukan berbasikal. - BERNAMA