Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, penarikan diri Titan Empire Event Management (TEEM) selaku pe­nganjur pada saat-saat akhir telah menyukarkan mereka untuk mencari pengganti.

Jelasnya, PKBM akan mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) atas pembatalan JM kali ini, sekali gus berdepan hukuman denda daripada badan induk tersebut.

“Penaja mana yang berani nak anjurkan JM yang membabitkan kos sekitar RM4 juta? Malah tinggal kira-kira tiga bulan sahaja lagi? Susah nak cari.

“Bagi saya, JM kali ini boleh dikatakan batal. Jadi, kami akan menghantar surat tunjuk sebab kepada UCI. Cuma kami bernasib baik kerana perlumbaan ini dibatalkan lebih awal.

“Kalau tinggal sebulan kemudian ia dibatalkan, sudah pasti UCI yang mengamuk dan secara tidak langsung akan mencalarkan imej negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejak diperkenalkan pada 1963, JM pernah dua kali tidak dianjurkan iaitu tahun 2005 dan 2006, sekali gus pembatalan perlumbaan kali ini menjadikannya yang ketiga.

Ditanya apakah kesan kepada pembangunan berbasikal negara jika JM dibatalkan, Abu Samah berkata perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan pelumba negara boleh menyertai perlumbaan lain yang semakin mendapat tempat di setiap negara.

“Saya rasa tiada (masalah). Masih banyak lagi perlumbaan yang boleh mereka sertai. Kita ada pasukan berstatus benua, jadi dengan pembatalan ini mereka tahu apa yang perlu dirangka serta akan mencari kejohanan lain,” ujarnya.