Harrif, 30, yang turut muncul pelumba tempatan terbaik pada saingan dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar itu, bagaimanapun tetap terkilan kerana tidak dapat mengulangi pencapaian ketika menjuarai peringkat kedua sebelum ini.

“Rasa macam mampu untuk juara peringkat keenam hari ini tapi hanya nasib tidak menyebelahi saya berikutan saingan sengit ke garisan penamat dalam kelompok yang besar.

“Apa pun saya masih bersyukur dapat tempat ketiga selepas melihat rakan sepasukan sudah berada di depan saya,” katanya merujuk kepada seorang lagi pelumba TSG, Youcef Reguigui yang menduduki tempat kedua.

Harrif yang dua kali menduduki tempat keempat pada peringkat ketiga dan kelima mengakui kini hanya menumpukan perhatiannya untuk merebut jersi hijau selaku raja pecut LTdL kali ini.

“Saya akan terus mencuba kerana untuk muncul juara keseluruhan sudah tiada harapan,” tegasnya.

Harrif kini di tempat kedua kategori Raja Pecut dengan mengumpul 55 mata, kurang 17 mata daripada pendahulu dari pasukan Floyd’s, Travis McCabe.

Sementara itu, pelumba Sapura, Muhammad Zawawi Azman masih muncul pelumba terbaik keseluruhan buat Malaysia dengan menduduki tempat ke-24 diikuti Nik Mohd. Azwan Zulkiflie (30) dari pasukan kebangsaan Malaysia dan seorang lagi pelumba Sapura, Muhammad Nur Aiman Mohd. Zariff (35).- UTUSAN ONLINE