Selepas tamat peringkat kelima dari Proton City di Tanjung Malim ke Dataran Warisan Taiping hari ini, pelumba berusia 30 tahun itu berada di tempat kedua bagi perebutan jersi hijau dengan mengumpul 42 mata, 16 mata di belakang pelumba Amerika Syarikat itu.

Pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) itu muncul pelumba Malaysia kedua memenangi saingan peringkat dalam LTdL selepas Anuar Manan pada 2010 apabila memenangi peringkat kedua dari Senawang ke Melaka pada Ahad lalu, menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan masa empat jam, 27 minit dan 11 saat bersama peloton utama.

Walaupun tanpa kedudukan podium hari ini, dia muncul pelumba terbaik Malaysia, selain meraih 15 mata bagi kategori pecutan untuk mengejar McCabe dengan masih ada sembilan zon pecutan pada tiga hari terakhir LTdL kali ini.

“Saya harap untuk mendapatkan kedudukan podium hari ini, tetapi disebabkan masih penat dan belum pulih sepenuhnya selepas pendakian ke Genting Highlands semalam, saya tidak dapat menandingi tiga pelumba terbaik hari ini pada zon pecutan terakhir.

“Saya rasa zon pendakian 25km sebelum tamat perlumbaan (di Bukit Berapit) menyukarkan keadaan hari ini. Laluan LTdL kali ini agak mencabar dengan laluan berbukit dan panjang, contohnya selepas pendakian ke Genting semalam, hari ini perlumbaan sejauh 200.1km.

“Tiga peringkat selepas ini bakal memberi kelebihan kepada pakar pecut kerana laluan pendek dan tidak banyak bukit,” katanya selepas peringkat hari ini, yang mempunyai tiga zon pecutan di Sungkai, Kampar dan Sungai Siput, selain zon pendakian Kategori Tiga di Bukit Berapit.

Pelumba Itali, Matteo Pelucchi dari pasukan Androni Giocattoli-Sidermec muncul juara hari ini, manakala Blake Quick mewakili St George Continental Cycling Team dan Mccabe, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa yang sama.

Peringkat keenam dari Bagan ke Alor Setar sejauh 130.8km esok, yang menyaksikan tiga zon pecutan di Sungai Petani, Gurun dan Pendang tanpa sebarang zon pendakian, dijangka memberi kelebihan kepada pelumba pecut. - BERNAMA