Team Ineos mengesahkan impian pelumba berusia 34 tahun itu untuk merangkul gelaran kelima Tour de France, tahun ini, berakhir selepas dia terbabas ketika menuruni laluan berbukit dalam cuaca angin bertiup kencang menjelang peringkat keempat ujian masa Criterium du Dauphine.

Froome ditimpa kecederaan serius pada pinggul kanannya, siku dan juga bahagian rusuk. Pelumba itu masih menerima rawatan di hospital dekat Saint-Etienne untuk sekurang-kurangnya selama dua hari, sebelum keputusan rawatan selanjutnya dibuat, kata prinsipal pasukan, Dave Brailsford.

Brailsford berkata kepada BBC, sewaktu insiden itu berlaku, Froome melepaskan pemegang basikal ketika cuba membersihkan hidungnya, namun, disebabkan angin yang bertiup kencang, dia telah terbabas lalu terjatuh. – AFP