Pasukan itu mengesahkan Froome tidak akan mengambil bahagian dalam peringkat seterusnya pada perlumbaan tersebut. Penarikan diri pelumba itu turut membayangi sasaran pelumba berusia 34 tahun itu untuk mempertahankan gelaran kelima Tour de France yang akan bermula di Brussels pada 6 Julai ini.

“Team Ineos mengesahkan bahawa Chris Froome terbabit dalam kemalangan sewaktu melakukan persediaan bagi peringkat keempat Criterium du Dauphine, hari ini. Dia di bawa ke hospital dan tidak akan memulakan perlumbaan peringkat keempat, hari ini. Kami akan mengemas kini perkembangan terkini dalam masa terdekat,” kata Ineos menerusi media sosial, Twitter.

Froome pernah terjatuh sewaktu latihan untuk peringkat pembukaan ujian masa Giro d'Italia pada 2018, tetapi dia akhirnya berjaya memenangi perlumbaan tersebut.

Dalam saingan Criterium, Froome berusaha untuk memperbaiki persembahannya selepas gagal memenangi sebarang peringkat perlumbaan, musim ini, dan dia berada pada kedudukan kelapan keseluruhan dengan hanya ketinggalan 24 saat di belakang pendahulu dalam Crtiterium.

Froome telah berlatih dalam keadaan cuaca berangin, tetapi permukaan jalan raya yang kering dengan laluan tidak menimbulkan kesulitan, selain, dua selekoh berbukit yang tidak berbahaya. - AFP