Itu peluang terakhir yang diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd. Adnan, Mohamad Shariz Efendi Mohd. Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol seperti mana yang dimaklumkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu mesyuarat, kelmarin.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, itu syarat muktamad yang dikenakan MSN yang memberi jaminan tidak akan lagi bertolak ansur atau memberi peluang terakhir kepada keempat-empat pelumba terbabit.

“Kayu pengukur terakhir yang akan digunakan adalah Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korea Selatan, Oktober ini. Jika empat pelumba ini gagal meningkatkan prestasi atau mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, keputusan mengenai kedudukan mereka dalam Podium akan dimuktamadkan.

“Tetapi jika mereka berjaya keluar daripada kemerosotan prestasi yang dialami ketika ini, mereka akan dipertimbangkan untuk kekal dalam program tersebut,” kata Abu Samah ketika dihubungi, hari ini.

Malangnya tambah beliau, apa yang mengecewakan PKBM ketika ini ialah keempat-empat mereka tidak langsung menunjukkan kesungguhan atau komitmen tinggi untuk berubah, walaupun telah diberi peluang memperbaiki pencapaian sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Saya harap peluang terakhir ini akan digunakan sebaik mungkin empat pelumba bermasalah terbabit untuk ‘bangkit dari tidur’ dan berjuang mengembalikan kehebatan masing-masing.

“Saya doakan mereka berubah dan berjaya pada misi terakhir ditetapkan MSN. Bukan niat PKBM menyingkirkan pelumba sewenang-wenangnya. Tetapi kami terpaksa lakukan selepas mendapat laporan prestasi daripada jurulatih termasuk John Beasley,” tegas Abu Samah.

Kejohanan Trek ACC diadakan pada 10 hingga 13 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE