Pelumba pasukan Sapura itu mengekalkan jersi kuning yang disandang sejak peringkat keempat di Genting Highlands apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 29 jam, 15 minit dan 23 saat.

Dyball, 29, mengetepikan cabaran sengit dua pencabar utama iaitu Keegan Swirbul dari pasukan Flyod's dan Vadim Pronskiy dari Vino-Astana.

Dia menjadi pelumba Australia pertama memenangi perlumbaan paling berprestij di Asia itu sejak rakan sepasukannya, Damian McDonald menjuarai kejohanan sulung pada 1996.

Peringkat terakhir mengelilingi Pekan Kuah, Langkawi sejauh 103.8 kilometer hari ini menjadi milik pelumba Itali, Marco Benfatto dari pasukan Androni Giocattoli.

"Setiap hari sejak kemenangan di Genting, rakan-rakan sepasukan saya sentiasa bekerja keras di semua peringkat, termasuk hari ini.

"Saya gembira dengan pasukan baharu saya dan mempunyai perasaan yang bagus sepanjang perlumbaan. Saya juga amat teruja melihat peminat Sapura berada di semua peringkat," katanya yang meninggalkan pasukan Australia, St George's untuk menyertai Sapura tahun ini. - UTUSAN ONLINE