Sejak diperkenalkan pada 1996 belum pernah ada pasukan dari Malaysia menjuarainya, malah tiada pelumba tempatan berjaya merangkul jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan dalam jelajah terbesar di Asia itu.

Tanpa kehadiran pasukan berstatus Pro Tour disebabkan beberapa faktor termasuk pertindihan tarikh dengan jelajah utama di Eropah, saingan kali ini dilihat lebih terbuka dan memberikan sedikit peluang kepada pasukan tempatan untuk menyerlah.

Begitupun, kesemua 132 pelumba dari 22 pasukan berpeluang untuk mem­buru kejuaraan dalam empat katogeri.

Kategori yang ditawarkan adalah juara Keseluruhan (jersi kuning), Raja Bukit (jersi merah), Raja Pecut (jersi hijau) dan Juara Asia (jersi putih), selain Pasukan Terbaik Keseluruhan dan Pasukan Terbaik Asia pada jelajah lapan peringkat meliputi jarak keseluruhan 1,225.8km.

Kembalinya dua lokasi ikonik LTdl iaitu Genting Highlands pada peringkat keempat serta Langkawi membuatkan saingan juga lebih terbuka dan sukar diramal.

Walaupun pendakian ‘Queen Stage’ ke puncak Genting Highlands dikatakan bakal menentukan kejuaraan keseluruhan, namun empat peringkat sete­rusnya, termasuk peringkat kelima dari Tanjung Malim-Taiping (200.1km) dan peringkat keenam dari Bagan-Alor Setar (130.8km) menjadikan persai­ngan mengejar jersi kuning le­bih terbuka kepada pakar pecut.

“Kami mencorakkan laluan yang pelbagai, landai, berbukit serta laluan beralun yang memberi peluang sama rata kepada pakar pecut dan juga pakar bukit.

“Laluan di sekitar Langkawi bukan sahaja indah tetapi bakal menyaksikan perlumbaan pantas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage (M) Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Mustafa.

Pencapaian terbaik pasukan Malaysia adalah apabila pelumba Terengganu Inc-TSG Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin dari Rusia mencipta sejarah memenangi jersi kuning tahun lalu, selain tiga gelaran Pasukan Terbaik Keseluruhan Asia yang dimenangi skuad kebangsaan (1999) dan Telekom Malaysia Cycling Team (2001 dan 2002).

Pencapaian terbaik pelumba tempatan pada LTdL pula, apabila Anuar Manan yang mewa­kili Geumsan Ginseng memenangi gelaran ‘Raja Pecut’ 2010, manakala Adiq Husainie Othman jersi putih 2016. – BERNAMA

Tarikh:

4 hingga 13 April 2019

Kelas : 2.HC

Kategori: Elit lelaki

Jelajah-UCI: Jelajah Asia

PERINGKAT LTDL 2019

l 6 APRIL

Peringkat 1

Kuala Lumpur ke Tampin (176.9 kilometer)

l 7 APRIL

Peringkat 2

Senawang ke Melaka (200.6km)

l 8 APRIL

Peringkat 3

Muar ke Putrajaya (192.6km)

l 9 APRIL

Peringkat 4

Shah Alam ke Genting Highlands (114.2km)

l 10 APRIL

Peringkat 5

Tanjung Malim ke Taiping (200.1km)

l 11 APRIL

Peringkat 6

Bagan ke Alor Setar (130.8km)

l 12 APRIL

Peringkat 7

Pantai Cenang ke Pantai Cenang (106.8km)

l 13 APRIL

Peringkat 8

Dataran Lang ke Kuah (103.8km)