Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, menerusi kerjasama antara Yakeb dan Hospital Pantai, segala kos perubatan Jusof akan ditanggung hospital berkenaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat yang dikenali sebagai ‘Life Renewed (surgery sponsorship for the needy)’.

Beliau mengakui Yakeb bersimpati dengan nasib Jusof yang terpaksa berulang-alik dari tempat tinggalnya di Segambut ke Hospital Serdang setiap minggu untuk mendapatkan rawatan penyakit jantung.

“Beliau terpaksa menunggu sehingga Oktober ini untuk menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, jadi kita prihatin dengan nasib beliau yang terpaksa menunggu lama.

“Menerusi kerjasama antara Yakeb dan Hospital Pantai, mereka telah menawarkan bantuan perubatan kepada beliau (Jusof),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Jusof di hospital berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noorul Ariffin memaklumkan Yakeb telah memberi bantuan perubatan melebihi RM26,000 sejak 2014, selain bantuan sara hidup sejak enam bulan lepas kepada Jusof yang merupakan salah seorang anggota Yakeb.

Bernama difahamkan Jusof, 59, mengusahakan perniagaan nasi lemak di Segambut sejak beberapa tahun lepas dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Sungai Buloh setiap minggu untuk mendapatkan rawatan dialisis buah pinggang yang turut dihidapinya.

Dalam pada itu, Jusof terharu dengan pelbagai bantuan disalurkan Yakeb kepada dirinya sejak 2014 dan menyeru bekas atlet kebangsaan untuk menjadi anggota Yakeb bagi memastikan mereka mendapatkan pembelaan sewajarnya terutamanya dari segi rawatan penyakit.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yakeb dan Hospital Pantai di atas keprihatinan mereka untuk membantu merawat penyakit jantung saya. Saya dikesan menghidap penyakit jantung ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat dialisis baru-baru ini, sebelum dirujuk ke Hospital Serdang dan dipindahkan ke Hospital Pantai,” kata Jusof.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Pantai Dr M. Narayanan berkata kos pembedahan jantung Jusof dianggarkan RM80,000, dan menambah bahawa 20 bekas atlet kebangsaan telah mendapat manfaat daripada program tersebut yang telah dimulakan kira-kira dua tahun lepas, bertujuan, antara lain, untuk membantu mereka yang memerlukan mendapatkan rawatan perubatan terbaik di negara ini.

Jusof bukanlah nama asing dalam sukan lumba basikal pada era 70-an dan 80-an setelah menyumbang satu pingat perak pada tiga edisi Sukan SEA iaitu 1977 di Kuala Lumpur, Jakarta (1979) dan Bangkok (1981), selain pernah menjuarai tujuh daripada sembilan peringkat perlumbaan Jelajah Bangkok 1980. - BERNAMA