Difahamkan Azizulhasni yang merupakan pemilik nama jolokan thepocketrocketman itu belum memutuskan sama ada bersedia untuk berlumba atau mungkin mengambil keputusan menarik diri.

Bekas juara dunia acara keirin itu setakat ini bagaimanapun masih berkeras untuk terus mencuba memulihkan kecergasan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukannya.

Pengurus pasukan, Ramlay Ibrahim mengesahkan perkara itu dan menyatakan Azizulhasni masih dalam senarai untuk diturunkan serta dalam waktu sama belum menerima apa-apa keputusan daripada pelumba tersebut.

“Buat masa ini, dia masih berlatih seperti biasa sejak beberapa hari lalu di Velodrom Anna Meares dekat Brisbane bersama pelumba lain.

“Azizulhasni bila berjumpa dengan saya, tidak berkata apa-apa lagi sama ada dapat beraksi atau tidak. Jadi, kita masih kekal dengan senarai asal,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurus-pengurus pasukan di sini hari ini.

Azizulhasni, 30, hanya akan memulakan cabaran pada Jumaat ini menerusi acara kegemarannya, keirin bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom walaupun acara basikal trek mula membuka tirai sehari sebelum itu.

Ini diikuti penyertaannya juga bersama Shah Firdaus dalam acara 200 meter pecut pada Sabtu ini.

Skuad basikal trek negara akan membuka gelanggang dengan bertanding dalam acara pecut berpasukan lelaki serta wanita dan empat 4km kejar mengejar berpasukan lelaki pada Khamis ini.

Cabaran pecut berpasukan lelaki akan dipikul Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis, Mohamad Shariz Efendi Mohd. Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol.

Pecut berpasukan wanita pula dibarisi Fatetah Mustapa, Farina Shawati Mohd. Adnan dan Ju Pha Som Net manakala kuartet 4km kejar mengejar dibarisi Eiman Firdaus Mohd. Zamri, Irwandie Lakasek, Muhammad Afiq Huznie Othman, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Danieal Edy Suhaidee.