Azizulhasni, 31, yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu memburu anugerah itu buat kali ketiga selepas memenanginya pada 2009 dan 2017.

Pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni meraih pingat emas melalui acara pecut individu lelaki serta satu pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin.

Dia turut meraih pingat emas Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara 2018 di Veldrom Nasional, Nilai pada Oktober, tahun lalu.

Sementara itu, Rafiq Ismail melakar beberapa kejayaan sensasi tahun lalu selepas memenangi anugerah perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong dan sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Sebelum itu, atlet muda berusia 22 tahun itu juga cemerlang dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki.

Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah SAM-100Plus 2018 kali ini turut menyaksikan persaingan sengit juara-juara dunia dalam kalangan atlet kebangsaan yang lain. Turut mengintai peluang ialah gandingan ratu terjun negara Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong Pamg; Amy Kwan Dict Weng (gimrama dan Mohamad Hazim Amzad (silat).

Mohd. Ridzuan Mohd Puzi yang dinobat sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018, dilihat sebagai pesaing terkuat untuk Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik, yang turut menyenaraikan dua lagi jaguh sukan olahraga para negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta Bonnie Bunyau Anak Gustin daripada sukan powerlifting. - UTUSAN ONLINE