Penganjur perlumbaan, Ciclista Sports Sdn Bhd memaklumkan bahawa Arya LTdF yang mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menjadi tumpuan bagi pasukan-pasukan wanita di seluruh Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports Sdn Bhd, Shahirudeen Seeni berkata, setakat ini sambutan diterima amat menggalakkan sekali gus membuatkan pihaknya ingin memastikan ia menjadi satu perlumbaan paling hebat buat pelumba wanita.

“Ada negara-negara yang menghantar pasukan kebangsaan mereka untuk perlumbaan ini, antaranya dari Singapura, Brunei, Indonesia serta Thailand malah ada juga kelab-kelab dari China yang turut serta.

“Pasukan dari Afrika juga akan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini sekali gus menjadikan saingan lebih kompetitif.

“Bagi laluan pula kami akan lakukan pembaharuan besar bagi menjadikan ia lebih mencabar dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Penganjuran perlumbaan ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Sementara itu, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh mahu semua pelumba wanita kebangsaan yang terpilih menyertai Arya LTdF memanfaatkan aksi tersebut kerana ia medan pendedahan terbaik mereka.

“Saya percaya jurulatih akan memilih yang terbaik untuk aksi perlumbaan tersebut.

“Dalam masa sama kita juga ingin melihat ada pelumba wanita negara yang berupaya meraih podium dalam Arya LTdF,” katanya.- UTUSAN ONLINE