Tiba di Langkawi pada pukul 2.35 petang hari ini selepas me­nempuh penerbangan panjang dari Milan, pasukan yang dike­tuai pengurus Gianni Savio itu bagaimanapun hadir de­ngan keyakinan cukup tinggi mereka mampu menjadi pasukan terbaik.

Androni menyertai LTdL, yang akan bermula Ahad ini hingga 25 Mac depan, hadir berbekalkan persembahan awal musim mereka dalam jelajah Vuelta a Tachira di Venezuela yang menyaksikan barisan pelumba pasukan tersebut memenangi empat daripada 10 peringkat pertandingan.

“Kami membawa (Matteo) Malucelli yang menang dua peringkat landai dan Kevin (Rivera Serrano) yang memenangi peringkat pendakian dalam jelajah itu ke LTdL kali ini.

“Walaupun ada pencabar lain seperti (Andrea) Guardini di laluan landai dan pelumba Dimension Data (Mekseb Debesay) untuk peringkat pendakian ke Cameron Highlands, Androni yakin mampu memberikan tentangan hebat.

“Kehadiran beberapa pasukan lain yang turut hebat akan membuatkan lapan hari perlumbaan dalam LTdL ini sengit, menarik dan terbuka,” kata Savio yang kali pertama tampil dalam LTdL pada 1999 bersama Selle-Italia.