Pada perlumbaan edisi ke-24 kali ini, pasukan itu yang dibimbing Gianno Savio berada di kedudukan ke-23 dunia dalam ranking UCI dengan mengutip 2,767 mata, diikuti Neri Sottoli-Selle Italia-KTM (1,682.72), Gazprom-Rusvelo (1,425).

Selain itu, dua pasukan benua Malaysia, Team Sapura Cycling (1,222) dan Terengganu Inc-TSG Cycling Team (1,190), manakala Bardiani-CSF yang mempertaruhkan Andrea Guardini di kedudukan ke-58 dunia.

Namun, ranking dan reputasi bukan faktor penentu kejayaan sesebuah pasukan pada perlumbaan melibatkan lapan peringkat itu kerana sejarah menyaksikan banyak kejutan dicipta pada LTdL sejak mula diperkenalkan pada 1996, kata penganjur perlumbaan itu Human Voyage Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut Androni memegang rekod cemerlang LTdL dengan merangkul gelaran pasukan keseluruhan pada 2003, 2006, 2008, 2009 dan 2012, tetapi selepas itu, pasukan berkenaan hanya memenangi dua peringkat perlumbaan menerusi Kenny van Hummel pada 2014 dan Manuel Belleti, tahun lepas.

"Tugas sukar menanti Savio bagi mengembalikan kegemilangan pada LTdL berdasarkan pencapaian mereka di Eropah musim ini.

“Pengendali kelahiran Itali itu perlu merencanakan strategi sama ada memberi tumpuan terhadap laluan mendatar menerusi pelumba pecut, Marco Benfatto dan Matteo Pelucchi atau memberi sepenuh fokus terhadap gelaran individu melalui pakar pendakian, Alessandro Bisolti, Daniel Munoz dan Kevin Riviera," kata kenyataan itu.

Saingan bagi merebut jersi kuning dan Raja Bukit (KOM) dijangka sengit, kerana selain Artem Ovechkin daripada TSG untuk mempertahankan gelaran, pelumba Colombia Alvaro Duarte, yang menduduki tempat kesembilan ketika mewakili Forca-Amskins, tahun lepas, akan kembali bersama Pasukan Benua Brunei.

Selain itu, perebutan jersi kuning juga terarah kepada pelumba Australia Jonathan Clarke daripada Floyd's Racing, yang baru merangkul kejuaraan keseluruhan pada Jelajah Taiwan, minggu lepas, dan beliau juga berpengalaman bersaing pada LTdL ketika mewakili United Healthcare pada 2012, 2014 dan 2016.

Neri Sotoli, membariskan dua bekas pelumba Willier Triestina, Giuseppe Fonzi yang menamatkan saingan di kedudukan kelima dan Luca Raggio di tempat ke-12, pada perlumbaan tahun lepas, juga dilihat mampu memberi cabaran pada LTdL 2019.

Cameron Bayly, naib juara keseluruhan LTdL 2017, dan Brendon Davids, juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2017, bakal menjadi 'senjata utama' pasukan Oliver's Real Food Racing, dan dijangka mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan lain.

Hernan Aguirre, juara Jelajah Qinghai Lake 2018, juga dijangka mampu menguasai perlumbaan peringkat Genting Highlands bersama-sama pasukannya, Interpro Cycling Academy yang membuat kemunculan sulung pada LTdL kali ini.

LTdL 2019 juga akan menyaksikan pendakian di Genting Highlands menjadi antara peringkat perlumbaan tahun ini, selepas empat tahun laluan itu tidak dimasukkan dalam saingan tersebut.

Saingan kategori Hors dengan pendakian setinggi 1,700 meter itu merupakan perlumbaan hari keempat dari Shah Alam.- BERNAMA