NUR AMIRULL (tengah), Akmal Hakim (kanan) dan Sofian Nabil masing-masing menunjukkan pingat yang dimenanginya dalam Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan 2019 menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki sejauh 163km. - PKBM

Pelumba berusia 27 tahun itu berjaya memanfaatkan pengalamannya untuk mengetepikan seorang lagi pelumba muda Sapura Cycling Team (TSC), Akmal Hakim Zakaria bagi menyarung jersi kebangsaan menerusi catatan masa 4 jam 6 minit 53 saat.

Pelumba Selangor, Sofian Nabil Omar Bakri melakukan kejutan untuk menduduki tempat ketiga setelah keciciran satu saat di belakang Amirull sekalipun tampil tanpa persediaan rapi.

Bagi Amirull atau nama sapaan Baang, ia merupakan gelaran kedua selepas muncul juara kebangsaan pada 2015, dan sedia untuk memikul amanah jika terpilih menyarung jersi kebangsaan dalam Sukan SEA 2019 di Filipina hujung tahun ini.

“Kejayaan hari ini memang sudah saya jangka. Perlumbaan hari ini dicorakkan sepenuhnya oleh Za (Zamri Salleh). Kami ada pelan tersendiri untuk menang dan kami berjaya selesaikan tugasan kami dengan cemerlang,” katanya.

Ketika ditanya tentang persiapan untuk ke Sukan SEA 2019, Nur Amirull Fakruddin percaya panel pemilihan pelumba Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pasti akan menilai kejayaannya itu.

“Saya muncul juara pada kejuaraan bukit. Laluan di Filipina juga adalah laluan berbukit. Jadi, saya harap panel pemilihan pelumba ke Sukan Sea 2019 akan menilai kejayaan saya pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jupha Somnet turut menepati ramalan awal apabila menyarung jersi kebangsaan setelah mendominasi perlumbaan lepas beramai-ramai elit wanita sejauh 130km.

Jupha merakam masa 3’36:46s untuk mengetepikan Nor Aisyah Zubir daripada Terengganu A dengan kelebihan satu saat manakala pelumba Selangor, Nur Azrenna Jumry menduduki tempat ketiga dengan masa 3’38:26s.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu A, Faizal Izzudin Ahmad muncul juara acara lepas beramai-ramai junior lelaki dengan masa 3’34:13s manakala Syafika Natasha Abd Kadir daripada Johor menjuara acara lepas beramai-ramai junior wanita dengan masa 3’28:28s.- UTUSAN ONLINE