Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, selepas mempamer persembahan yang mengecewakan dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jakarta minggu lalu, mereka meletakkan Fatehah dalam pemerhatian ketat dengan harapan dia mampu bangkit daripada kemerosotan prestasi di penghujung karier.

“Bukan sahaja Fatehah, seorang lagi pelumba wanita negara, Farina Shawati (Mohd. Adnan) juga diletakkan di bawah perhatian kerana begitu ketara merosot prestasi mereka sejak kebelakangan ini.

“Kalau prestasi yang mereka tunjukkan tidak juga meningkat, kita mungkin tiada pilihan selain menggugurkan mereka daripada skuad negara.

“Ini memandangkan untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo juga sudah begitu tipis sekali,” tegas Abu Samah.

PKBM memberi peluang terakhir kepada pelumba yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 12 Mac ini untuk memperbaiki kemerosotan dengan meletakkan Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Korea Selatan, Oktober ini sebagai penanda aras.

“Jika gagal menunjukkan peningkatan di Korea Selatan, Fatehah mahu pun Farina akan digugurkan bagi memberi peluang kita mengetengahkan pula pelumba pelapis bagi menggantikan mereka,” kata Abu Samah lagi.

Sebelum ini, Fatehah sudah beberapa kali menerima tamparan hebat termasuk digugurkan daripada mewakili negara ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan diketepikan daripada dihantar semula menjalani latihan di Melbourne, Australia di bawah bimbingan ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley.

PKBM juga membekukan penyertaannya dalam beberapa Siri Piala Dunia dan Kejohanan Dunia tahun ini berikutan prestasi yang terlalu hambar, selain ranking yang merudum.

Ini termasuk tewas dalam keadaan cukup memalukan kepada pelumba baharu dari Indonesia di ACC minggu lalu.

Sejak beberapa tahun lalu Fatehah dan Farina bersama Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis menjalani latihan di Melbourne dan sekali sekala sahaja pulang ke Malaysia.