Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan “The Pocket Rocketman”, berkata timbulnya idea menubuhkan pasukan profesional itu apabila dia melihat kebanyakan pelumba pelapis mempunyai bakat besar tetapi kekurangan ilmu mengenai teknik kayuhan yang betul ketika perlumbaan.

“Saya mahu membantu pembangunan sukan berbasikal, pasukan profesional ini minimum pelumba ada tiga atau empat orang. Sekurang-kurangnya saya boleh bantu pelumba muda kita sertai team saya dan berpeluang bertanding.

“Kalau satu pasukan sahaja adalah terhad (limitation).

“Pemilihan diberikan kepada yang berprestasi tinggi. Saya mahu pelumba-pelumba lain turut mendapat peluang dan pendedahan. Pengalaman berlumba sangat penting.

“Mereka ini bukanlah kita sasarkan untuk jadi juara dunia secara mendadak, pasukan ini adalah platform untuk menjadikan pelumba yang kompetitif sebelum melangkah ke ‘elite surface’,” katanya kepada pemberita selepas program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Daikin, yang merealisasikan impian kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan yang menetap di Selangor.

Seramai 54 kanak-kanak menerima hadiah seperti basikal, peralatan sekolah, buku cerita, alat muzik dan peralatan sukan yang ditaja oleh Daikin.

Azizulhasni yang juga Duta Daikin berkata, jika pasukannya itu mendapat penajaan yang banyak dan mempunyai bajet mencukupi, dia bercadang membawa pelumba pasukan itu berlatih di Melbourne, Australia dan menyertai pertandingan di negara itu.

Jelasnya ketika ini, senarai nama pelumba sudah ada tetapi dia perlu berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatihnya John Beasley.

Katanya, pasukan profesional itu juga antara persediaannya untuk bertanding dalam Piala Dunia tahun depan dan beberapa kejohanan lain bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Ini adalah inisiatif saya sendiri, pertamanya untuk saya bertanding dalam Piala Dunia tahun depan, kalau saya berlumba untuk pasukan negara ia akan menghadkan jumlah pelumba untuk berlumba. Kalau ada dua pasukan dari Malaysia, kita akan ada lebih penyertaan.

“Ada sesetengah acara, hanya dua pelumba boleh masuk, jadi saya mahu beri peluang kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd. Fadhil Zonis dapat peluang untuk berlumba dan mencari pengalaman serta kumpul mata ke Sukan Olimpik,” jelasnya. - BERNAMA