Mengakui terkesan apabila ‘diturunkan pangkat’ yang menyebabkan dia tidak lagi mempunyai jurulatih khusus bagi memantau prestasi, pelumba berusia 23 tahun itu mengambil sikap positif dan bersedia mempamerkan prestasi terbaik, pada Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia di Nilai, bermula Khamis ini.

Selain tidak lagi mengikuti latihan bersama skuad berbasikal trek negara di bawah kendalian ketua jurulatih, John Beasley di Melbourne, Australia sejak Januari lalu, Farina Shawati dan tiga lagi pelumba trek negara dikenakan pemotongan elaun latihan susulan gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.

“Latihan berjalan seperti biasa dan saya berlatih di Malaysia sahaja.

“Saya akui agak sukar kerana tidak mempunyai jurulatih khusus yang memantau perkembangan kami walaupun program telah disediakan.

“(Amaran) itu memberi kesedaran kepada saya. Saya ambil sebagai positif apabila diturunkan elaun. Kalau tidak jadi macam itu, kita tidak akan sedar.

“Saya teruskan berlatih dan baiki kesilapan yang pernah dilakukan,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar Yayasan Sime Darby (YSD) di sini hari ini.

Farina Shawati antara empat pelumba berbasikal trek di bawah Program Podium yang diberi tempoh sehingga Oktober untuk membuktikan mengapa mereka tidak boleh disingkirkan daripada program tersebut dan ditarik balik semua elaun bulanan yang dinikmati sebelum ini. – bernama

Selain Farina Shawati, mengalami nasib sama berikutan kemerosotan prestasi adalah Fatehah Mustapa, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol. – BERNAMA