Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, kegagalan penganjur berbuat demikian bakal mendorong UCI ‘memburu’ persekutuan sekalipun pihaknya jelas tiada kaitan dengan sebarang kontrak penganjuran perlumbaan antarabangsa di negara ini.

“Walaupun PKBM tiada kait-mengait dengan kontrak mereka, UCI yang akan cari PKBM apabila ada pembayaran yang tidak dijelaskan penganjur perlumbaan dalam tempoh 60 hari seperti ditetapkan UCI. Itu risikonya (bakal turut ditanggung PKBM),” katanya.

Berdasarkan peraturan UCI tegasnya, wang hadiah kemenangan sepatutnya didahulukan pembayarannya kepada PKBM sebulan sebelum perlumbaan namun kelonggaran terpaksa diberikan apabila penganjur mengadu belum menerima wang daripada penaja.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Le Tour de Femina (TDF) 2019 yang akan berlangsung dari 7 hingga 12 September meliputi jarak keseluruhan, 719.9 kilometer, oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Menara KBS di sini hari ini.

TDF yang menampilkan enam peringkat perlumbaan di bawah kategori UCI 2.1 (WE) ini merupakan pertama di Malaysia dan yang ketiga di Asia melibatkan jelajah berbasikal wanita selepas China dan Thailand.

Mengenai TDF katanya, PKBM akan mencari sekurang-kurangnya enam pelumba wanita bagi membentuk pasukan kebangsaan menghadapinya termasuk empat yang pernah beraksi dalam satu perlumbaan di Tashkent, Uzbekistan, baru-baru ini.

“Kami akan cari dua lagi pelumbanya daripada senarai yang diperoleh dengan MSN (Majlis Sukan Negara) jadi tiada masalah membentuk pasukan. Sebagai persediaan juga, mereka mungkin berlumba dalam bulan puasa ini pada Tour de Taiyun, China,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sdn. Bhd., Shahirudeen Seeni berkata, TDF anjuran syarikatnya tidak meniru mana-mana konsep perlumbaan berbasikal wanita termasuk seperti yang didakwa pernah dilangsungkan pada 2016.

“Kami tidak tiru sesiapa. Kami buat perlumbaan berstatus 2.1 antarabangsa dan yang itu (2016) perlumbaan kebangsaan. Selepas ini pun jika ada penganjur lain hendak buat perlumbaan wanita pun, buatlah, kami tidak akan halang.

“TDF hadkan 22 pasukan dan 132 pelumba. Kami cuba berlaku adil dengan utamakan selebihnya pasukan kebangsaan Asia kerana akan jadi kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik. Disebabkan perlumbaan antarabangsa wanita tidak banyak, kami perlu tapis penyertaan pasukan Eropah.

“TDF memang untuk pasukan benua dan tiada pasukan pro tour namun matlamat kami ialah dalam lima tahun, mahu dapat status Jelajah Dunia Wanita. Hadiah kemenangan TDF ialah sekitar RM700,000,” katanya.