Sebaliknya beliau yang juga Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) itu percaya, kontinjen negara masih mampu membawa pulang lebih enam emas biar pun pemainnya sendiri, Datuk Nicol David gagal mempertahankan kejuaraan di sini selain badminton berpasukan campuran.

“Kita masih ada peluang dalam acara individu badminton, di situ ada lima emas boleh kita menangi. Lagi pun persaingan baharu memasuki pertengahan temasya.

“Selain itu, terjun yang belum bermula lagi dan boling padang berpotensi meraih emas. Begitu juga dengan skuasy dalam acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran,” katanya.

Setakat ini, selepas enam hari temasya berlangsung di sini dan Brisbane, kontinjen negara hanya mampu meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa untuk berada di tangga ke-11 keseluruhan.

Emas diraih pada hari pertama temasya, 5 April lalu menerusi dua atlet angkat berat iaitu Muhamad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dalam kategori 56 kilogram lelaki dan Muhamad Aznil Bidin (62kg lelaki). Lebih menarik, Azroy turut memecah rekod temasya dengan angkatan 117kg berbanding catatan sebelum ini 116kg.

Pingat perak pula menerusi badminton berpasukan campuran selepas skuad negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei tewas 1-3 kepada India dalam final semalam.

Gangsa pula disumbang atlet angkat berat, Muhammad Fazrul Azrie Mohdad (85kg lelaki), Mohd. Nafiizwan Adnan (skuasy perseorangan lelaki) dan Alia Shazana Azhari menerusi acara menembak 25m pistol wanita.

Kontinjen negara perlu meraih sekurang-kurangnya tujuh pingat emas untuk mencapai sasaran menandingi pencapaian enam pingat emas pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Pada edisi di Glasgow, kontinjen negara menduduki tangga ke-12 dengan enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Turut menyumbang kepada kurangnya pingat emas kontinjen negara kali ini adalah kegagalan basikal trek untuk menyinar terutama menerusi Azizulhasni Awang.