Pada ketika Zii Jia dianggap pilihan untuk mengungguli kejohanan, terutama selepas Liew Daren menarik diri akibat kecederaan dan juara bertahan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tidak mengambil bahagian, dia bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan 19-21, 14-21 di tangan pemain tidak ternama.

Zii Jia, 21, yang mengetuai senarai calon untuk merebut tiket perseorangan lelaki ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo mengakui, kurang fokus kepada permainan menyebabkan dia melakukan banyak kesilapan.

“Bagaimanapun kekalahan ini tidak mematahkan semangat saya dan bukan satu pengakhiran,” kata pemain No. 27 dunia itu kepada pemberita.

Bagi Eizlan, 22, dia tidak memikirkan tentang kemenangan ketika turun ke gelanggang kerana sudah beberapa kali tewas kepada Zii Jia.

“Sebelum ini saya tewas beberapa kali kepadanya, jadi saya hanya fokus kepada permainan sendiri,” kata pemain Sabah yang menghuni ranking ke-397 dunia itu.

Menanti Eizlan pada suku akhir esok adalah pemain yang beraksi dari pusingan kelayakan, Lim Chong King. Pemain muda Persatuan Badminton Malaysia (BAM)/Kuala Lumpur itu mara selepas menumpaskan Aidil Sholeh Ali Sadikin (BAM/Selangor) 23-21, 10-21, 21-19. - UTUSAN ONLINE