Pemenang tiga pingat pe­rak Sukan Olimpik itu dilihat akan berdepan kesukaran untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 jika gagal kembali menjelang Ogos ini.

Ketika ini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi ‘perlindungan’ kepada ranking Chong Wei selepas dia disahkan menghidap kanser hidung, namun ia hanya bertahan untuk tempoh setahun.

Kali terakhir pemain berusia 37 tahun itu beraksi ialah pada Terbuka Indonesia tahun lalu dan selepas menjalani rawatan pemulihan kanser, dia tidak pernah menyertai sebarang kejohanan.

Ketika ini Chong Wei ber­ada pada kedudukan ke-77 dunia dan dijangka terkeluar daripada senarai 100 terbaik menjelang hujung bulan ini dengan proses mengumpul mata kelayakan Olimpik akan bermula 1 Mei depan di Terbuka New Zealand.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, Datuk Ng Chin Chai tidak dapat memberi jaminan bahawa Chong Wei akan kembali beraksi dalam tempoh terdekat ini kerana dia masih menjalani proses pemulihan.

Katanya, doktor yang merawatnya menasihatkan Chong Wei untuk terus menjalani proses pemulihan tanpa memberikan sebarang tekanan kepada dirinya.

“Kita serah perkara ini kepada Chong Wei dan doktornya. Kami akan sentiasa memberikan sokongan.

“Buat masa sekarang belum ada keputusan bila dia akan kembali dan kami di BAM juga tidak mendaftarkan namanya ke mana-mana kejohanan setakat ini,” kata Chin Chai.