Walaupun mendapat laluan mudah namun Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan ketiga perlu fokus satu demi satu perlawanan terlebih dulu sebelum melangkah ke separuh akhir dan kemungkinan berdepan HS Prannoy (India) yang merupakan pemain pilihan ketiga kejohanan.

Perseorangan wanita, Sonia Cheah dijangka berdepan laluan sukar apabila bakal ditentang Grace Chua Hui Zhen dari Singapura di pusingan ketiga dan kemungkinan menentang pemenang pingat emas empat tahun lalu, Michelle Li dari Kanada. 


Bagi acara beregu lelaki pula, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang merupakan pilihan utama, dijangka menerima cabaran sebenar pada pusingan separuh akhir apabila kemungkinan berdepan pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge.


Turut beraksi dalam acara beregu lelaki ialah Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

Beregu wanita Vivian Hoo-Chow Mei Kuan yang baru digandingkan bakal berdepan pilihan keempat, Chloe Birch-Jessica Pugh dari England di suku akhir.

Gandingan tersebut turut mempamerkan aksi cemerlang apabila layak ke final beregu wanita pada kejohanan Cabaran Antarabangsa Vietnam di Hanoi pada minggu lepas.

Mereka bagaimanapun tewas kepada beregu Korea Selatan, Baek Hana-Lee Yurim, yang juga pilhan kedua kejohanan.

Bagi acara beregu campuran pula, jika berjaya mengatasi halangan awal, kedua-dua beregu Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berpeluang bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir.

Bagi acara berpasukan Malaysia diundi dalam kumpulan D bersama-sama Kanada, Ghana dan Seychelles.

Sukan badminton bagi acara berpasukan akan bermula pada esok hingga 9 April manakala bagi acara individu pula akan berlangsung dari 10 hingga 15 April di Carrara Sports and Leisure Centre. - BERNAMA