Bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman percaya pemain berusia 21 tahun berasal dari Kedah itu, mempunyai semua permainan, kemahiran dan kelincahan yang bagus untuk menjadi pencabar pingat di temasya dwitahunan itu pada hujung tahun ini.

Ismail juga percaya bahawa, sekiranya Zii Jia mampu mengatasi pencabar utama seperti Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia yang masing-masing menduduki rangking keempat dan kesembilan dunia di Manila, beliau mampu menjadi antara pencabar pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

“Pada pandangan saya, permainan Zii Jia cukup bagus, cuma harus meningkatkan stamina dan endurance. Kalau kita bandingkan dengan pemain-pemain besar yang lain, beliau mudah melakukan kesilapan.

“Mengikut percaturan saya, jika beliau mampu merapatkan jurang dengan dua pemain Indonesia itu, beliau ada peluang di Tokyo.

“Sekiranya Zii Jia ingin mengikuti langkah (pemain nombor satu dunia) Kento Momota, atau sekurang-kurangnya pingat di Olimpik, itulah kerja kuat yang dia harus dapatkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran Aeon Credit Purple League Junior 2019 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail yang juga Ketua Jurulatih Petaling BC, berharap kelab yang merupakan juara selama dua tahun berturut-turut, iaitu edisi sulung pada 2015 dan 2016, meraih kedudukan tiga teratas pada tahun ini.

Beliau berkata kelab tersebut sekadar meraih kedudukan ketujuh di kalangan sembilan pasukan kerana ketiadaan program pembangunan selepas pemain-pemain utama seperti Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah melepasi syarat umur 19 tahun.

Untuk memperkuatkan pasukan pada musim ini, Ismail berkata pihaknya telah mengikat dua pemain dari Indonesia dan sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk pemain dari Taiwan. - BERNAMA