Mengakui kejayaan mara ke final kejohanan Seluruh England, baru-baru ini sebagai batu loncatan, Aaron- Wooi Yik mahu terus melangkah ke depan dan saingan badminton Terbuka Malaysia 2019 pada April ini adalah sasaran seterusnya.

“Kami harap dalam Terbuka Malaysia, saya dan Wooi Yik masih dapat teruskan rentak cemerlang. Begitu juga tahap keyakinan kami dalam gelanggang yang saya harap akan terus konsisten,” kata Aaron.

Dia yang ditemui selepas sesi latihan di Akedemi Badminton Malaysia, bagaimanapun, berkata, mereka tidak boleh lalai kerana menanti pada Terbuka Malaysia bukanlah calang-calang lawan.

“Undian agak sukar kerana kita akan berjumpa pasangan Jepun (Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe) dalam pusingan kedua. Kalau mara ke suku akhir, laluan juga dijangka agak berliku.

“Kalau boleh saya sasarkan sekurang-kurangnya mara hingga ke separuh akhir Terbuka Malaysia, namun, sudah tentu kami tetap menyimpan cita-cita untuk menggengam kejuaraan itu nanti,” tambah Aaron.

Dalam pusingan pertama, Aaron-Wooi Yik dijadualkan untuk bertemu gandingan pemain dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge dan sekiranya mara, menanti mereka di pusingan kedua adalah pemain pilihan ke-4 yang juga naib juara Terbuka Malaysia tahun lalu, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe atau Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Pemain-pemain kebangsaan lain yang bakal membawa cabaran negara dalam Terbuka Malaysia kali ini adalah Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Ong Yew Sin- Teo Ee Yi, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pemain profesional negara yang akan turun membawa cabaran dalam Terbuka Malaysia pula adalah Liew Daren, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Arif Latif-Azrin Ayub dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Terbuka Malaysia akan berlangsung dari 2-7 April ini di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) dan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$700,000 (RM2.84 juta).