BWF dalam kenyataan hari ini, berkata pemain berusia 35 tahun itu juga didenda US$4,500 (kira-kira RM18,625) selepas didapati bersalah terhadap empat kesalahan oleh Panel Etika Pendengaran BWF.

Kesalahan itu ialah gagal mendedahkan butiran mengenai pembabitannya dalam mengatur perlawanan, tidak memberi kerjasama penuh terhadap siasatan dijalankan BWF, dan tidak mendedahkan sepenuhnya maklumat kepada BWF setelah permohonan rasmi dibuat berhubung perkara itu, kata BWF.

Panel berkenaan yang dipengerusikan James Kitching, dan dibantu dua anggota - Kevin Carpenter dan Annabel Pennefather membuat keputusan tersebut dalam satu mesyuarat, Isnin lepas.

Tahun lalu, dua pemain perseorangan profesional Malaysia, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, masing-masing digantung oleh BWF selama 20 dan 15 tahun, daripada terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton kerana terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Hukuman penggantungan itu bukan sahaja melibatkan pertandingan tetapi meliputi bidang kejurulatihan, pembangunan, selain, tidak dibenarkan terlibat dalam bidang pengurusan dan juga merasmikan sebarang program melibatkan badminton. - BERNAMA