Sebaliknya keputusan tidak menyenaraikan beregu ranking kelima dunia itu lebih kepada untuk memberi peluang gandingan beregu campuran lain menyumbang tenaga di temasya edisi ke-30 di Filipina itu nanti.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, Peng Soon-Liu Ying sudah pun beberapa kali beraksi di Sukan SEA dan adalah lebih baik mereka menumpukan perhatian untuk menyertai kejohanan antarabangsa termasuk persiapan untuk beraksi di Siri Grand Prix (GP) Dunia Akhir pada Disember ini.

"Memandangkan Sukan SEA 2019 agak rapat dengan Siri GP Dunia Akhir di Guangzhaou, China, kami mengambil keputusan menggugurkan Peng Soon-Liu Ying ke Filipina.

"Lagi pun mereka sudah kerap kali beraksi di Sukan SEA. Adalah lebih baik BAM memberi peluang kepada beregu campuran lain yang kurang atau tidak pernah beraksi di temasya dwi tahunan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ketiadaan Peng Soon-Liu Ying bakal menyaksikan cabaran negara dalam acara beregu campuran dipikul gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jin dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Mengenai Goh Jin Wei yang baharu sihat dari sakit, Choong Hann berkata, nama pemain perseorangan wanita itu tetap disenaraikan selain Soniaa Cheah dan Lee Ying Ying.

"Jin Wei sudah turun berlatih secara sistematik seperti biasa tetapi dia belum cukup cergas sepenuhnya namun menunjukkan banyak peningkatan.

"Kita tengok dalam beberapa bulan ini, kalau dia masih tidak cergas, kita masih ada Soniaa dan Ying Ying untuk membawa cabaran skuad negara," tegas Choong Hann.

Badminton pada temasya 2019 nanti bakal mempertandingkan acara individu dan berpasukan dengan skuad negara mensasarkan dua pingat emas untuk dibawa pulang daripada enam emas yang ditawarkan. - UTUSAN ONLINE