Zii Jia yang pernah melakar kejutan dengan menundukkan bekas juara dunia serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Chen Long di Terbuka Indonesia gagal mengulangi pencapaian itu ke atas Momota yang juga pemain No.1 dunia.

Dalam aksi hari ini, pemain berusia 21 tahun itu tewas 12-21, 8-21 kepada Momota dalam aksi yang berlangsung selama 36 minit.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada pemain kelahiran Alor Setar itu kerana berjaya melangkah hingga ke saingan lapan terbaik dalam penampilan pertamanya di kejohanan besar seperti itu selain hanya tewas kepada pemain yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi daripadanya.

Turut terkandas, pasangan beregu campuran profesional yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying selepas tewas kepada pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-18, 12-21, 11-21 dalam tempoh 65 minit.-UTUSAN ONLINE