Kedua-dua pemain itu akan berentap buat kali ketiga dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Basel hari ini, dengan Momota memiliki rekod kemenangan 2-0 ke atas pemain kelahiran Alor Setar itu.

Pemain ranking ke-13 dunia itu beraksi cemerlang semalam dengan menundukkan pilihan kelapan dari Jepun, Kenta Nishimoto, 21-15, 11-21, 22-20 untuk melangkah ke suku akhir hari ini.

Sebelum ini, Zii Jia pernah melakukan kejutan dengan menundukkan bekas juara dunia serta pemenang pingat Sukan Olimpik Rio, Chen Long dan kini dia percaya mampu mengulangi aksi cemerlang itu.

“Momota dilihat kurang konsisten tahun ini dan saya rasakan dia boleh dikalahkan,” katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata, strategi permainan terbaik perlu dirangka bagi membolehkan dia mencipta kejutan besar di Basel.

“Perbincangan akan dilakukan bagi mencari strategi terbaik untuk menewaskan Momota. Sebelum ini saya pernah menentangnya di Piala Sudirman, jadi banyak yang perlu diberikan perhatian,” katanya.-UTUSAN ONLINE