Katanya, beliau akan meneliti terlebih dahulu permasalahan yang terdapat dalam badan induk berkenaan sebelum mengusulkan sebarang cadangan.

"Apabila saya bersetuju untuk kembali (kepada BAM), saya ada beberapa idea dan rancangan, tapi untuk lebih adil saya perlu masuk dahulu dan lihat situasi keseluruhan. Memang ada perubahan besar yang boleh dilakukan, dan memang saya akan usulkannya," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai prestasi pemain Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia 2019, Kenny mengakui, keputusan para pemain Malaysia agak mengecewakan, namun, beliau percaya akan ada kebangkitan pemain muda yang dilihatnya sebagai berpotensi.

"Keputusan keseluruhan amat mengecewakan, bagaimanapun masih ada secebis harapan apabila anda dapat lihat beberapa pemain yang berpotensi, ada yang memang muda jadi saya ingin tegaskan di sini jalan penyelesaiannya sentiasa ada," katanya.

Kenny yang berusia 52 tahun itu bukan lagi asing dalam arena badminton kerana beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai pengurus besar sebelum berhijrah ke Badminton Asia sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO). - BERNAMA