Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, jawatankuasa tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pembangunan infrastruktur dan organisasi dan kelestarian kewangan.

"Jawatankuasa Petugas Badminton ini akan menggembleng tenaga semua pihak bagi mengorak strategi terbaik untuk merealisasikan harapan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh dirinya sendiri manakala timbalannya ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail pula dilantik sebagai setiausaha.

Steven berkata, dalam mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di MSN di Bukit Jalil di sini, semalam, tiga jawatankuasa kecil ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pembangunan Bakat dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.

Jawatankuasa Pembangunan Infra dan Organisasi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Konfederasi Badminton Asia (BAC), Datuk Kenny Goh serta Jawatankuasa Kelestarian Kewangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Datuk Jack Koh.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pemegang taruh yang terdiri daripada BAM, KBS, MSN, ISN, kelab-kelab badminton profesional seperti Puchong BC, Cheras BC, Petaling BC serta wakil dari Purple League. - BERNAMA