Itu pesanan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan ke-62.

Chong Wei mengakui, hatinya terlalu sakit apabila melihat warga maya 'berperang' kerana isu-isu yang tidak sepatutnya sehingga dia tidak sanggup untuk membuka media sosial.

"Sejak akhir-akhir ini saya jarang membuka media sosial seperti kebiasaan sebab hati saya sakit melihat kandungannya.

"Rakan-rakan dan peminat 'menyerang' satu sama lain, semuanya hanya kerana isu kecil. Ini bukan Malaysia yang saya perjuangkan," kata Chong Wei dalam media sosial.

Menurutnya, isu remeh seperti polemik Dong Zong dan tulisan khat tidak sepatutnya memecah belahkan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu bersatu dan menolak pihak yang sengaja menyebar kebencian antara kaum.

"Jangan biarkan segelintir pihak yang menyebarkan kebencian kaum mengalahkan kita.

"Jangan biarkan mereka yang tidak sensitif mempengaruhi kewarasan kami. Jangan biarkan anasir jahat (daripada orang Cina, India dan Melayu) mengalahkan negara kita, rakyat kita.

"Saya mahu anak-anak dan cucu saya mempunyai rakan Melayu dan India. Saya mahu mereka berasa selamat di Malaysia. Saya mahu mereka berjuang untuk bendera negara, seperti mana saya lakukan sejak sedekad lalu," katanya lagi.

Beliau turut mengimbau kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas pada 1992,kejayaan itu diraih bersama oleh pemain dengan pelbagai latar belakang bangsa.

"Ketika Malaysia memenangi Piala Thomas 1992, (Datuk) Punch Gunalan adalah pengurus pasukan, (Datuk) Razif (Sidek) ketua pasukan,Rashid (Sidek) paling berbakat, (Foo) Kok Keong seorang pejuang dan (Soo) Beng Kiang melakukan smash yang memberikan mata kemenangan.

"Ini keindahan Malaysia, pelbagai bangsa. Jangan bunuh ia.

"Selamat ulang tahun tidak lama lagi. Tanah tumpah darahku. Kesetiaan kepada raja dan negara," katanya. - UTUSAN ONLINE