Meskipun mendapat sokongan padu penonton, pemain kelahiran Seremban itu gagal menandingi kehebatan Sri Fatmawati selaku pilihan ketujuh apabila tumpas 11-21, 21-15, 23-25 dalam aksi yang berlangsung selama sejam dua minit itu.

Kisona ketika ditemui Bernama selepas perlawanan mengakui kekalahan beliau kepada pemain Indonesia itu disebabkan rasa gugup selain hilang fokus terutama pada set pertama dan kedua hingga membolehkan lawan mengutip mata mudah.

Katanya, dia juga menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan berazam mempertingkatkan prestasi bagi memastikan kejayaan dikecapi pada kejohanan akan datang.

“Secara keseluruhan kekalahan ini juga disebabkan kawalan gelanggang yang kurang kemas. Saya juga terlalu banyak hantar bola (bulu tangkis) tinggi hingga membolehkan lawan untuk melakukan smash dan mengutip mata mudah.

“Apa pun, adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi saya pada kejohanan kali ini saya banyak belajar supaya mempelbagaikan cara permainan dan pada yang sama perlu tingkatkan prestasi ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Kisona memenangi kejohanan itu sebanyak dua kali iaitu pada 2017 di Putrajaya dan pada 2018 di Pulau Pinang.

Sementara itu, bagi peringkat akhir perseorangan wanita esok, Sri Fatmawati akan menentang seorang lagi wakil negara, Eoon Qi Xuan yang menumpaskan pemain Thailand, Nuntakarn Aimsaard 21-6, 21-18. - BERNAMA