Elizabeth yang mesra dengan panggilan Lizzy mengakui sangat berbesar hati untuk melibatkan diri bersama sukan itu dan berharap dapat memberikan sumbangan bagi menarik lebih ramai peminat bagi memberikan sokongan kepada badminton.

“Saya tidak pernah terlibat dengan perkara seperti ini dan sudah pasti saya sangat berbesar hati selain teruja.

“Saya harap boleh berikan sumbangan kepada sukan ini dengan menarik lebih ramai sokongan peminat menerusi laman sosial selain menunjukkan kepada masyarakat apa yang dilakukan atlet badminton.

“Berbanding bola sepak, mereka tidak perlu duta kerana orang ramai sentiasa memberikan sokongan dan dalam perkara ini, badminton perlu diberikan kredit, jadi saya mahu terlibat kerana bapa saya juga adalah peminat sukan badminton,” katanya dalam satu majlis di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

ELIZABETH TAN
 

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap, kehadiran Elizabeth akan memberi impak positif khususnya dalam menarik minat golongan muda dalam memberikan sokongan kepada badminton.

“Elizabeth akan menjadi ‘cheerleader’ kepada badminton, dia memiliki ramai pengikut di media sosial dan kami berharap dia mampu membantu kami untuk mendekati golongan muda untuk meminati badminton.

“Kami juga mengalu-alukan kehadiran personaliti lain yang berhasrat untuk melibatkan diri bersama kami,” katanya.-UTUSAN ONLINE