Isteri mendiang, Datin Maggie Thean, 79, berkata, sudah menjadi rutin Eddy, 82, untuk ke negara itu setiap tahun bagi menyaksikan secara langsung pertandingan itu yang telah mengangkat namanya dalam sukan badminton dunia.

"Kebiasaannya saya akan menemaninya ke sana dan sudah pasti berasa sedih dengan pemergiannya secara tiba-tiba kerana kami sudah lama hidup sebagai pasangan suami isteri.

"Bagi saya, mendiang seorang pencinta badminton sejati dan sentiasa mengikuti perkembangan sukan itu walaupun sudah lama menggantung raket.

"Kalau dia tahu begitu ramai media datang hari ini, sudah pasti dia gembira kerana masih diingati," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bell, dekat sini semalam.

Eddy menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas tiga hari dirawat di hospital berkenaan akibat mengalami muntah-muntah pada Sabtu lepas.

Menurut anak sulungnya, Datuk Finn Choong Khuat Seng,53, doktor kemudian memaklumkan terdapat pendarahan dalam perut ayahnya.

Eddy, yang mengukir nama di pentas antarabangsa sekitar tahun 1950-an apabila muncul juara acara perseorangan All England sebanyak empat kali selain beberapa gelaran terbuka lain dengan kali terakhir menjulang Kejuaraan Terbuka Jepun ketika usia 36 tahun.

Menurut Khuat Seng, ayahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Titi Gantung pada Jumaat ini.

Mendiang turut meninggalkan tiga lagi anak lain iaitu, Lionel Choong, 51, Jorgen Choong, 46 dan Antonio Choong,37.